Monday, January 31, 2011

Along dapat kerja

Petang tadi Along Izzad dah bertolak ke JB untuk memulakan kehidupan baru sebagai Jurutera Elektrik. Selamat Bertugas, semoga menjadi seorang engineer yang berdedikasi....
Selamat Maju Jaya buat Along

Saturday, January 29, 2011

Pentaksiran Sekolah


Semua sekolah akan menjalankan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan terhadap murid KSSR Tahun 1 mulai tahun 2011. Dari segi tujuannya, ia bagi mengurangkan bebanan peperiksaan awam terhadap murid-murid dan memberi penilaian yang menyeluruh kepada mereka bagi melahirkan modal insan yang bukan tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata tetapi cemerlang secara holistik yang merangkumi segala aspek kehidupan manusia.
   Penilaian ini akan berterusan sehinggalah murid-murid ini tamat pelajaran mereka di Tingkatan 5. Dijangkakan pada tahun 2016, peperiksaan UPSR hanya membawa markah 30% daripada markah keseluruhan yang akan dikira untuk murid-murid ini memasuki sekolah menengah. Kalau dahulu, penilaian berdasarkan gred A, B, C, D dan E, namun kini akan digantikan dengan sistem Band seperti MUET;
Band 1 - Tahu
Band 2 - Tahu, faham
Band 3 - Tahu, faham, boleh buat
Band 4 - Tahu, faham, boleh buat dengan beradab
Band 5 - Tahu, faham, boleh buat dengan adab terpuji
Band 6 - Tahu, faham, boleh buat dengan adab mithali

Band 1-3: Asas
Band 4   : Cemerlang
Band 5   : Gemilang
Band 6   : Terbilang
(ihsan blog MGB Sepang. Terima kasih Min)

KSSR

Bermula 2011, semua murid Tahun 1 akan mengikuti KSSR. Adakah KSSR akan menggantikan KBSR? Menurut mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, KSSR tidak menggantikan KBSR tetapi beriringan dengan KBSR.
   KSSR ialah Kurikulum Standard Sekolah Rendah.  Ini bermaksud, semua murid yang berada di Malaysia akan diajar kurikulum yang standard.  Modul yang dibekalkan oleh Kementerian Pelajaran adalah rujukan utama.  Guru-guru yang mengajar Tahun 1 telah pun diberi kursus dan penerangan tentang pelaksanaan KSSR ini.
   KSSR yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia membahagikan mata pelajaran kepada tiga modul iaitu:
Modul Asas Teras
Bahasa Malaysia (BM), Bahasa Inggeris (BI), Bahasa Cina (BC), Bahasa Tamil (BT), Matematik serta Pendidikan Islam / Moral, Pendidikan Kesihatan dan Pendidikan Jasmani.
Modul Asas Tema
Dunia Kesenian dan Dunia Sains dan Teknologi. Masing-masing mendedahkan kemahiran berkaitan seni visual dan muzik serta Teknologi Komunikasi dan Maklumat.
Modul Asas Elektif
Bahasa Arab, BC Sekolah Kebangsaan, BT Sekolah Kebangsaan, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun.

   Tahap Satu sekolah rendah (Tahun 1 hingga 3) akan tertumpu pada penguasaan 4M (membaca, menulis, mengira dan menaakul) serta kemahiran asas teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT), perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sikap dan nilai.
   Tahap Dua sekolah rendah pula (Tahun 4 hingga 6) akan tertumpu kepada pengukuhan dan aplikasi 4M, kemahiran asas ICT, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, sikap dan nilai. Bagi kurikulum Tahap Dua pula membabitkan murid Tahun 4, 5 dan 6, kurikulum diorganisasikan dalam bentuk subjek teras dan elektif dan dilaksanakan mulai 2014.  Antara subjek baru yang bakal diperkenalkan ialah Reka Bentuk dan Teknologi Maklumat / ICT dan Sejarah.
   Selain itu, kementerian juga akan memperkenalkan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) bagi murid-murid prasekolah berumur lima dan enam tahun di seluruh negara. Tumpuan di peringkat pra sekolah ialah perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sahsiah, persediaan ke sekolah rendah serta pendedahan awal kemahiran 4M.
   Enam tunjang menjadi teras pelaksanaan KSSR:
1 - komunikasi
2 - perkembangan fizikal dan estetika
3 - kemanusiaan
4 - keterampilan diri
5 - sains dan teknologi
6 - kerohanian, sikap dan nilai.

Wednesday, January 26, 2011

Jenguk sekolah

 Sepatutnya hari ni dah habis mc saya. Semalam memang saya dah set nak pergi sekolah hari ini. Tapi oleh kerana doktor kata kaki ni belum betul-betul pulih, sambung cuti lagi sebulan. 
   Bangun pagi, saya terasa semacam je.  Apa lagi saya terus bersiap dan memandu sendiri ke sekolah yang tak jauh dari rumah.
Ramainya peminat nak bersalam
Seronok dapat ambil gambar
Bergambar di pejabat yang lama saya tinggalkan
(Tongkat masih setia di sisi)
Banyak juga kerja yang dapat saya selesaikan

   Saya dapati keadaan sekolah aman dan tenteram. Proses pengajaran dan pembelajaran berjalan seperti biasa. Unit Jadual Waktu sedang sibuk menyelesaikan jadual baru versi ke-5.
   Sebelum balik, saya sempat singgah di bilik guru, bilik Pendidikan Khas dan kantin. Puas dapat bersembang dengan cikgu-cikgu. Tahniahlah kepada Pn. Shikin dan semua GPK serta barisan guru dan staf yang telah menjalankan tugas masing-masing dengan baik. Bila-bila saya teragak nanti, saya muncul lagi kat sekolah. Jangan marah.....  

Tuesday, January 25, 2011

Buka simen

Pagi tadi pergi Hospital Putrajaya dengan Ayu dan Alang untuk rawatan susulan kaki yang patah ni.
   Simen dibuka dan doktor kata tulang belum pulih sepenuhnya. Sambung mc lagi sebulan sampai 22/2/2011. Minggu depan kena pergi fisioterapi. Moga-moga lepas cuti panjang ni, boleh sembuh dan dapat berjalan seperti sedia kala. 
   Kepada Pn. Shikin, Pn. Asnah, Mimi, guru-guru, dan staf, saya minta ampun dan maaf tak dapat bertugas lagi. Insya Allah saya akan bantu dari rumah. Kepada murid-murid, jangan lupakan cikgu. Belajar rajin-rajin dan dengar cakap cikgu. Semoga SKKW terus maju! 

Sunday, January 23, 2011

Tambah kelas

Minggu lepas sekolah kami telah menerima surat dari JPN Selangor berkaitan bilangan kelas berdasarkan jumlah murid terkini. Setelah berbincang dengan PPD, kami terpaksalah akur membuka 2 buah kelas lagi bagi menampung bilangan murid yang bertambah. Kelas-kelas yang terlibat ialah Tahun 2 dan 6. Ini bermakna pejabat KAFA yang menggunapakai bilik darjah kami selama ini terpaksalah dikosongkan untuk tujuan tersebut. Apakan daya kelas itu sajalah kelas yang ada. Dengan berat hati GPK 1; Pn. Shikin pun memaklumkan kepada pengurusan KAFA akan perkembangan tersebut.  
   Alhamdulillah pihak KAFA memahami keadaan kami dan bersetuju menumpang sementara di stor Pengawas di tingkat bawah bagi membolehkan kelas-kelas baru beroperasi bulan Februari ini. Bermakna, 2 stor telah kami pinjamkan kepada KAFA termasuk stor di tingkat atas yang selama ini dijadikan sebagai Bilik Pentadbir KAFA. 
   Sebenarnya, sejak 2009 lagi kami dah maklumkan kepada pihak KAFA tentang kemungkinan pejabat KAFA terpaksa dikosongkan. Di dalam surat-surat itu, kami berikan unjuran bilangan murid dan kelas SKKW dan kami berharap supaya pihak KAFA, PAID dan JAIS dapat membuat perancangan untuk menghadapi keadaan ini. Siapa sangka pejabat KAFA perlu memberi laluan tersebut setahun lebih awal. 
   Hujung tahun lepas pihak PPD telah membayangkan kepada 3 buah sekolah yang berkongsi premis dengan KAFA termasuk SKKW supaya bersedia untuk membuka sesi petang menjelang 2012. Mengikut PPD, selain penduduk Kota Warisan yang kian bertambah, murid-murid dari Taman Bunga Raya dan Taman Indah KLIA juga akan ditempatkan di sekolah kami. Hal ini juga telah kami maklumkan secara bertulis kepada KAFA. Diharapkan pihak KAFA dapat lebih serius memikirkan di mana mereka hendak beroperasi tahun depan apabila SKKW menjadi 2 sesi.
   Aduhai.... tanyalah mana-mana Guru Besar dan guru, tak ada siapa yang suka bersekolah pada sesi petang. Tapi apakan daya - Saya yang menurut perintah!

Saturday, January 22, 2011

Permuafakatan Tahun 6

Semalam bertempat di Dewan Tahun 2 SKKW, telah diadakan program "Majlis Permuafakatan Ke arah Kecemerlangan UPSR Tahun 2011". Majlis telah berlangsung dari pukul 8.00 pagi - 12.00 tengah hari dengan kehadiran seramai 98 orang ibu bapa. Majlis ini telah dianjurkan oleh Unit Kurikulum dan Unit Bimbingan & Kaunseling.
   Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada ibu bapa dan penjaga murid tentang tanggungjawab mendidik anak-anak dengan baik. Di samping itu, program ini juga bertujuan untuk memberi motivasi kepada murid-murid agar belajar bersunguh-sungguh bagi mencapai kejayaan dalam pelajaran. Program juga dirancang untuk mengimbangkan  perbezaan individu sama ada dari segi intelek, minat, bakat dan emosi. Seterusnya, usaha ini diharap dapat meningkatkan lagi peratus pencapaian akademik sekolah khasnya pencapaian UPSR. 
   Objektif program :
1) Memberi pendedahan kepada ibu bapa dan penjaga tentang pendidikan anak-anak menjelang peperiksaan
2) Mengeratkan hubungan antara pihak sekolah dengan ibu bapa
3) Memupuk sikap berpegang pada janji, disiplin dan bertanggungjawab kepada murid-murid
4) Memaklumkan kepada ibu bapa tentang program-program yang disusun oleh pihak sekolah untuk meningkatkan pencapaian peperiksaan murid Tahun 6
5) Meminimumkan jumlah murid yang gagal dalam semua mata pelajaran
   Di antara aturcara program adalah ucapan YDP PIBG, ucapan GPK HEM yang mewakili Guru Besar, ceramah motivasi oleh penceramah jemputan Ustaz Ghazali dari JPN Selangor, penerangan tentang subjek-subjek UPSR oleh guru-guru setiap matapelajaran, sesi dialog dan ramah mesra. Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada YDP PIBG Dr. Rushdan dan AJK PIBG serta semua ibu bapa murid Tahun 6 yang sudi hadir. Semoga majlis ini akan menjadi titik tolak bagi usaha memacu dan memperjuangkan kecemerlangan UPSR 2011.
   Berikut adalah beberapa gambar yang dapat diemelkan oleh cikgu Ruzana untuk dirakamkan di sini.
Sebahagian ibu bapa yang hadir
Sesi ceramah motivasi keibubapaan
YDP PIBG; Dr. Rushdan bersama barisan guru Tahun 6

Thursday, January 20, 2011

Ranking NKRA

Minggu ni semua sekolah rendah di seluruh negara sibuk memperkatakan tentang keputusan ranking NKRA tahun 2010. Ranking NKRA ini mengambil kira 70% GPS UPSR dan 30% skor rumusan SKPM (Standard Kualiti Pendidikan Malaysia) sekolah. Tahun lepas SKKW mendapat ranking ke-808 daripada lebih 7000 buah sekolah. Kedudukan itu bersamaan dengan Band 2. Bagaimana tahun ini?????
   Wow tahun ni SKKW mendapat ranking ke-531 daripada keseluruhan 7,697 buah sekolah rendah seluruh Malaysia. Tahniah! Tahniah! Tahniah! Walaupun tak sehebat mana, sesungguhnya ia merupakan kejayaan yang sangat manis buat warga sekolah. Syukur Alhamdulillah. Teruskan usaha keras cikgu-cikgu dalam mencemerlangkan anak-anak murid walaupun terlalu banyak tohmahan dari pelbagai pihak. Kekalkan momentum itu dan galilah segala kekuatan dan semangat untuk kita tingkatkan kualiti tersebut. Kalian memang best. Saya merasa sangat bangga....

Tuesday, January 18, 2011

PPG

Good Luck diucapkan kepada 5 orang guru SKKW yang telah memohon Program Pengsiswazahan Guru (PPG) 2011. Mereka adalah :
1.  En. Farizul Karimi
2.  Ustazah Norina
3.  Pn. Morietta
4.  Pn. Nordiana; dan
5.  Pn. Zahrulhuda
   Saya doakan semoga kelima-limanya berjaya dan dapat memenuhi impian masing-masing untuk meningkatkan diri dalam kerjaya yang kian mencabar ini. Maka akan semakin mantaplah tenaga pengajar SKKW nanti. Anak-anak murid juga yang akan merasa hasilnya.....

Saturday, January 15, 2011

PIBG

Semua orang sedia maklum tentang kewujudan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah-sekolah. Di sini, saya ingin menyorot semula apa itu PIBG, tujuan dan fungsi PIBG sebagaimana yang digariskan di dalam perlembagaan.
    PIBG adalah salah satu organ penting sekolah yang boleh memainkan peranan besar dalam meningkatkan pencapaian persekolahan murid-murid. Pertubuhan PIBG di peringkat sekolah rendah dan menengah adalah hasil pelaksanaan syor-syor berlandaskan Laporan Aziz yang diumumkan pada tahun 1971.
    Fungsi PIBG utama yang ditubuhkan di sekolah-sekolah ialah menjaga dan melindungi kebajikan pelajar-pelajar dan guru-guru, di samping memberi sumbangan untuk perkembangan sekolah. Fungsi PIBG ini dapat diperlihatkan daripada kegiatan-kegiatan sosial, akademik dan kebajikan yang diusahakan mengikut garis panduan Kementerian Pelajaran Malaysia.
    Ahli-ahli PIBG yang aktif boleh menyumbangkan tenaga dan sumber kewangan mereka dari semasa ke semasa demi kemajuan sekolah.
    Menurut  Akta Pendidikan 1996 Peraturan-Peraturan Pendidikan (Persatuan Ibu Bapa = Guru) 1998 [Sub peraturan 7(2) ] Perlembagaan Persatuan Ibu Bapa - Guru (PIBG), tujuan PIBG ialah:- 
(a) Untuk mengadakan sesuatu forum dan perkhidmatan bagi kebajikan dan kemajuan murid-murid dalam meningkatkan imej sekolah; 
(b) Untuk membantu dan menambah usaha sekolah dalam memenuhi kehendak dan keperluan kebendaan murid-murid dalam kegiatan mereka;
(c) Untuk membolehkan ibu bapa dan guru dalam sekolah bertukar-tukar fikiran dan maklumat mengenai pendidikan;
(d) Untuk memberi peluang kepada ibubapa dan guru dalam sekolah berunding antara satu sama lain berkenaan dengan cara memperbaiki taraf pendidikan anak-anak mereka pada amnya; dan
(e) Untuk membolehkan ibu bapa dan guru dalam sekolah berusaha menambah kewangan sekolah dan meningkatkan kemudahan fizikal bagi tujuan meningkatkan kemudahan pengajaran dan pembelajaran.
    Manakala fungsi PIBG pula ialah untuk menjalankan aktiviti atau program bagi mencapai tujuan-tujuan yang dinyatakan di atas, seperti :-
(a) membantu dalam memajukan perkembangan murid dan menjaga kebajikan murid;
(b) menambah sumber kewangan sekolah bagi menambah dan meningkatkan kemudahan di sekolah;
(c) meningkatkan kemesraan dan menyediakan saluran komunikasi dan hubungan antara sekolah dengan masyarakat setempat;
(d) meningkatkan keceriaan premis sekolah supaya dapat mewujudkan suasana yang kondusif bagi menjayakan aktiviti dan program pendidikan.

    Jelas sekali, peranan PIBG hanyalah sebagai organ menambahbaik dan membantu pihak sekolah dalam bidang tertentu sahaja. PIBG tidak boleh mentadbir dan mencampuri hal pentadbiran sekolah sementara pihak sekolah pula haruslah memberi sepenuh kerjasama kepada PIBG kerana kebanyakan program PIBG memerlukan penglibatan guru-guru. Beruntunglah sekolah yang mendapat barisan AJK PIBG yang komited dan memahami. Sudah tentulah pentadbir dapat menjalankan tugas dengan lancar dan guru-guru dapat mendidik dengan berkesan.
    Mesyuarat PIBG janganlah dijadikan sebagai medan untuk menyenaraikan ketidakpuashatian kerana tujuan utama mesyuarat adalah untuk membincangkan usaha memartabatkan pendidikan. Masa tersebut begitu berharga untuk dihabiskan dengan membesarkan hal-hal yang remeh-temeh. Masing-masing boleh menegur tetapi lunakkan ia dalam bentuk cadangan. Jika ada kes-kes tertentu, datanglah ke pejabat sekolah untuk disiasat dan diselesaikan secara halus dan berhemah. 
    Sebagai guru dan kini Guru Besar, memang banyak pahit maung yang telah saya lalui sepanjang berurusan dengan PIBG, tak kiralah dengan ahli-ahlinya maupun AJKnya. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi kredit kepada beberapa orang ahli dan AJK PIBG yang amat saya hargai. Pada pendapat saya, mereka ini sangat baik hati, pemurah dan sentiasa menyokong pihak sekolah. Antaranya;
1.  Pn. Bahiyatul Nazarah
2.  En. Munir Ashim Abdullah
3.  Pn. Rohani Tamby
    Ini tidaklah bermakna ahli-ahli yang lain tak komited. Cuma sebagai insan biasa, hati kecil saya memang cukup tersentuh dengan keluhuran hati mereka. Siapalah saya hendak menilai para ibu bapa yang hebat di luar sana? 
    Namun setinggi-tinggi syabas kepada PIBG SKKW yang sentiasa menyokong kami selama ini. Semoga hubungan baik ini akan terus berpanjangan demi mencapai puncak kegemilangan!

Tuesday, January 11, 2011

Prasekolah baru

Dulu saya pernah tuliskan berita yang SKKW akan mendapat sebuah lagi kelas prasekolah baru. Baca di sini. Yang tak bestnya, setelah beberapa kali lawatan oleh pegawai-pegawai KPM dan PPD, siap dengan rombongan jurutera, arkitek, kontraktor bukan satu malahan dari 2 pasukan yang berbeza, hasilnya hmmm...... SKKW tak termasuk dalam projek peluasan prasekolah 2010! Tak ada bajetlah, tapak tak cukup luaslah dan macam-macam. Pegawai PPD tu pun dah bertukar ke KPM dan pegawai PPD baru pun tak tau nak cakap apa.
   Hari ni tadi saya dimaklumkan oleh Pn. Shikin, 2 orang pegawai dari JPN Selangor telah datang ke sekolah. Pn. Shikin call saya. Mereka tanya sekolah nak tak kelas pra baru - sudah tentulah saya jawab nak. (Depa je yang tak nak bagi). Kata Pn. Shikin, pegawai JPN tu beritau rupanya dulu SKKW dah disenaraikan untuk projek Prasekolah 1 Malaysia - bersama sebuah lagi sekolah di Pekan, Pahang (memang saya dah diberitau pun tentang perkara ni dulu). 
   So, kita tengoklah sama-sama jadi ke tidak projek ni. Kawasan sekolah saya besar tu jelah, pandai-pandailah nak buat kat mana. Cuma harap binaan bangunan biarlah berkualiti, tak maulah dah siap esok rosak sana, rosak sini macam masalah tandas dan paip kelas Pra Amanah dan Pra Rasional tu. Khabarnya kelas pra yang akan dibina ini lebih canggih - ada bilik solat dan bilik persalinan bagai. Kita tunggu dan lihat jelah....

Saturday, January 8, 2011

Kenangan MPK 82/84

Sejak cuti ni, mati kutu nak cari idea untuk entri baru. Tup.. tup... dapat satu bahan. Sejak sebulan dua ni, saya dah mula dapat contact  balik kawan-kawan lama semasa di Maktab Perguruan Kuantan 1982 / 1984 dulu. Mana lagi kalau tak melalui facebook yang popular tu. Kak Esah yang banyak merapatkan balik hubungan kami sebab dia banyak upload gambar-gambar kami. Saksikanlah gambar-gambar saya masa muda-muda dulu. Terima kasih kak Sah... 
Baru masuk maktab
Kat Teluk Cempedak dengan member-member
Jamuan apa entah ni
Kepada kawan-kawan, jomlah kita reunion.....

Tuesday, January 4, 2011

Pn. Sa'diah GB SK Cyberjaya

Ingat lagi tak mantan GPK 1 SKKW - Pn. Sa'diah? Tak sampai 5 bulan dia jadi GB di SK Seafield 3, USJ, Subang Jaya, dia dah dapat bertukar sebagai GB SK Cyberjaya, Sepang pada 16 Disember 2010 yang lalu. Rezeki dia dapat balik Sepang awal sedangkan ramai GB yang bertukar ke luar daerah terpaksa menunggu sampai setahun baru boleh balik semula ke daerah masing-masing. 
   Tahniah buat Pn. Sa'diah yang dapat menerajui sekolah terbaik Sepang. Kami di SKKW pun turut bangga sebab ada kroni di situ, mudah nak tumpang sekaki. Contohnya; Jumaat ni dah plan dengan GPK dan guru-guru Tahun 1 nak tengok program KSSR Tahun 1 (tapi saya tak dapat join le nampaknya). SK Cyberjaya merupakan sekolah rintis KSSR 2009 dan mendapat pujian pasukan JPN Selangor yang membuat lawatan ke sekolah tersebut minggu lepas. Jom layan gambar-gambar lawatan JPS ke SK Cyberjaya yang saya ambil daripada facebook En. Zaironi Busri (maaf tak minta izin tuan terlebih dahulu)....
  
Lawatan pasukan PBS KSSR JPN Selangor ke SK Cyberjaya
  Dokumen KSSR Tahun 1 SK Cyberjaya yang akan dijadikan panduan dan rujukan

Monday, January 3, 2011

Hari pertama sekolah 2011

3 Januari 2011 adalah hari pertama persekolahan 2011 bagi seluruh negara. Cikgu ingin mengucapkan Selamat Bersekolah bagi murid-murid prasekolah dan Tahun 1 serta Selamat Kembali Ke Sekolah bagi murid-murid Tahun 2 - 6 SK Kota Warisan. Kepada guru-guru, laksanakanlah amanah yang dipikul dengan sebaik mungkin. Semoga mendapat rezeki yang halal hasil komitmen kita. 
   Lain macam je rasanya dok kat rumah  hari ni. Harap semua berjalan lancar.
Tahniah Aiman Yazaly dapat masuk MRSM Pekan!
Semoga terus mengekalkan kecemerlangan dan menjadi pemuda yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
Acik diiringi sepupunya; Nasrul masuk asrama SMK BBST. Good luck korang berdua!

Saturday, January 1, 2011

Selamat Tahun Baru 2011

Special  betul tarikh hari ini - 1.1.11. Selamat Tahun Baru 2011 buat semua. Mohon maaf jika sepanjang saya berkongsi cerita melalui blog ini, ada yang tersentuh atau tercuit di sana sini. Semoga ikatan ukhwah kita biarpun hanya sekadar di alam maya akan berkekalan hendaknya. Sesungguhnya banyak ilmu dan info terkini telah saya perolehi sejak saya berjinak-jinak dengan hobi ini. 
   Azam? Buat masa ini, saya hanya berdoa agar saya cepat sembuh dan tulang kaki saya yang patah ini akan bercantum. Saya nak jalan seperti biasa macam dulu-dulu.....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...