Tuesday, July 26, 2011

APC 2010

Saya sangat tertarik dengan beberapa ungkapan dari Tuan PPD; Tn. Hj. Mat Jah bin Roslan semasa Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2010 Pejabat Pelajaran Daerah Sepang yang diadakan di Auditorium Akademi Audit Negara, Bandar Enstek, Negeri Sembilan tadi. Beliau melahirkan ungkapan-ungkapan tersebut semasa menyampaikan ucapan alu-aluan dalam majlis yang meraikan 199 orang pegawai termasuk guru dan staf sokongan sekolah-sekolah rendah dan menengah seluruh daerah Sepang yang menerima APC kali ini. Beliau merujuk kepada peranan yang perlu digalas oleh pegawai-pegawai cemerlang yang hadir. Antaranya;
1.  "Semoga menjadi contoh teladan..."
2.  "Sebagai pembakar semangat..."
3.  "Anda sedang ditanda aras..."
4.  "Semoga menjadi ikon..."
   Walaupun majlis APC merupakan majlis yang tidak asing dan rutin bagi kebanyakan organisasi, namun pengalaman melaluinya apatah lagi sebagai penerima merupakan sejarah manis yang takkan dilupakan. Bahkan sijil APC merupakan eviden berharga bagi perkembangan kerjaya setiap kakitangan. 
   Justeru, seruan PPD agar semua pentadbir memberikan penilaian yang tepat tanpa prejudis terhadap kakitangannya perlu diberi perhatian. Ini bagi memastikan kegigihan setiap guru dan staf dihargai dalam konteks bidang tugas masing-masing. Bagi yang belum cemerlang perlu dibimbing agar seiring dengan rakan-rakan yang lain. Disarankan juga agar kita sentiasa berfikir di luar kotak, mencetuskan idea-idea di luar kelaziman dan menyelesaikan masalah secara kreatif dan kritis.
   Namun, Tuan PPD mengingatkan bahawa ganjaran daripada Allah tidak ternilai. Rebutlah rezeki yang bertebaran di bumiNYA ini, Insya Allah kebahagiaan akan datang dalam berbagai-bagai bentuk.
   Ucapan yang sungguh memberangsangkan dari Tuan PPD itu disusuli dengan ucapan perasmian oleh YB. Dato' Dr. Hj. Karim bin Hj. Mansor ADUN Kawasan Tanjung Sepat. YB Dato' merupakan rakan sepersekolahan Tuan PPD; Tn. Hj. Mat Jah. Semoga gandingan kedua pemimpin ini akan membantu melonjakkan lagi kegemilangan pendidikan di daerah Sepang.
   Apapun setinggi-tinggi tahniah buat penerima-penerima APC SKKW kali ini iaitu:
1)  Mohd. Fakhruddin bin Yusoff
2)  Norizan binti Dahalan
3)  Siti Aminah binti Abdullah
4)  Siti Zawiyah binti Md Akhir
5)  Farizul Karimi bin Ibrahim
6)  Azira binti Ibrahim
Pentas yang gah
Persembahan tarian murid-murid SK Pulau Meranti
Merakam detik bersejarah bersama GB
Enam sekawan pemangkin kecemerlangan
   Memetik kata alu-aluan PPD Sepang dalam buku program yang disediakan;
"Kita memerlukan ramai warga pendidik dan kakitangan sokongan yang mempunyai budaya kerja cemerlang yang mengutamakan pelanggan dalam setiap nafas, minda, sikap, tingkah laku, tutur kata dan bahasa badannya bagi memastikan kecemerlangan organisasi"

3 comments:

  1. Tahniah buat puan dan juga rakan-rakan SKKW yang telah menerima APC.

    ReplyDelete
  2. Salam Ashrafi dan Maria. Tahniah buat rakan-rakan. Insya Allah keikhlasan adalah kunci kepuasan bekerja

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...