Tuesday, September 18, 2012

Mesyuarat rintis penggabungan JK

Sebagai sekolah rintis Program Simulasi Penggabungan Jawatankuasa di Sekolah, pagi ini sekali lagi saya dan kak Noredzan; GB SK Taman Seroja menghadiri mesyuarat pelanjutan program tersebut di Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) KPM, Putrajaya. Kalau dulu, kami terlibat dengan simulasi 2 bulan, kali ini kami akan menjalankan program yang sama selama sebulan lagi bermula 24 September hingga 24 Oktober 2012. Dan kalau pada peringkat awal, hanya 40 buah sekolah sahaja yang terlibat, untuk program rintis kali ini telah bertambah menjadi 62 buah sekolah dari 4 buah negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, WP Kuala Lumpur dan WP Putrajaya. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Timbalan KPPM; YBhg. Dr. Khair.
   Kami akan menggabungkan kesemua jawatankuasa yang ada di sekolah menjadi hanya 5 jawatankuasa induk sahaja. Ini selaras dengan perakuan Jawatankuasa Menangani Isu Beban Tugas Guru (JKMIBTG) 2010 dulu. Hasil perbincangan, jawatankuasa-jawatankuasa yang lain akan dijumudkan dan diubahsuai sebagai bidang tugas di bawah 5 jawatankuasa induk tersebut.    
   Di celah-celah perbincangan dan sumbangsaran ahli mesyuarat, kami berpendapat jawatankuasa yang ada sekarang ini telah disusun dengan begitu telus dan adil bagi meringankan beban guru. Bahkan ianya sangat membantu melicinkan pengurusan sekolah. Namun perintah perlu diakur. Kami beberapa orang pentadbir akan berbincang sesama sendiri bagaimana cara dan langkah yang terbaik bagi melaksanakan simulasi ini. Masa berlalu pantas.....
 
 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...