Sunday, January 23, 2011

Tambah kelas

Minggu lepas sekolah kami telah menerima surat dari JPN Selangor berkaitan bilangan kelas berdasarkan jumlah murid terkini. Setelah berbincang dengan PPD, kami terpaksalah akur membuka 2 buah kelas lagi bagi menampung bilangan murid yang bertambah. Kelas-kelas yang terlibat ialah Tahun 2 dan 6. Ini bermakna pejabat KAFA yang menggunapakai bilik darjah kami selama ini terpaksalah dikosongkan untuk tujuan tersebut. Apakan daya kelas itu sajalah kelas yang ada. Dengan berat hati GPK 1; Pn. Shikin pun memaklumkan kepada pengurusan KAFA akan perkembangan tersebut.  
   Alhamdulillah pihak KAFA memahami keadaan kami dan bersetuju menumpang sementara di stor Pengawas di tingkat bawah bagi membolehkan kelas-kelas baru beroperasi bulan Februari ini. Bermakna, 2 stor telah kami pinjamkan kepada KAFA termasuk stor di tingkat atas yang selama ini dijadikan sebagai Bilik Pentadbir KAFA. 
   Sebenarnya, sejak 2009 lagi kami dah maklumkan kepada pihak KAFA tentang kemungkinan pejabat KAFA terpaksa dikosongkan. Di dalam surat-surat itu, kami berikan unjuran bilangan murid dan kelas SKKW dan kami berharap supaya pihak KAFA, PAID dan JAIS dapat membuat perancangan untuk menghadapi keadaan ini. Siapa sangka pejabat KAFA perlu memberi laluan tersebut setahun lebih awal. 
   Hujung tahun lepas pihak PPD telah membayangkan kepada 3 buah sekolah yang berkongsi premis dengan KAFA termasuk SKKW supaya bersedia untuk membuka sesi petang menjelang 2012. Mengikut PPD, selain penduduk Kota Warisan yang kian bertambah, murid-murid dari Taman Bunga Raya dan Taman Indah KLIA juga akan ditempatkan di sekolah kami. Hal ini juga telah kami maklumkan secara bertulis kepada KAFA. Diharapkan pihak KAFA dapat lebih serius memikirkan di mana mereka hendak beroperasi tahun depan apabila SKKW menjadi 2 sesi.
   Aduhai.... tanyalah mana-mana Guru Besar dan guru, tak ada siapa yang suka bersekolah pada sesi petang. Tapi apakan daya - Saya yang menurut perintah!

3 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...