Friday, January 22, 2010

Mesyuarat Sukan

Selesai perjumpaan ibu bapa tahun 6, pada sebelah tengah harinya pula telah diadakan Mesyuarat Sukan dan Merentas Desa. Merentas Desa akan diadakan pada 3.2.10 dan sukan pula akan diadakan pada 20.2.10. Kami sangat bertuah sebab mesyuarat ini telah mendapat tajaan pizza dari seorang ibu kepada murid UPSR 5A tahun lepas. Beliau ialah Pn. Mimi ibu kepada Nik Nurin Qistina yang sekarang ni sedang menyambung pelajarannya di Kolej Yayasan Saad. Tahun ini, ada seorang lagi adiknya; Nik Nurin Khalishan juga akan menduduki UPSR. Semoga Khalishan akan dapat mengikut jejak langkah kakaknya yang sangat berbakat dan inteligent itu. Terima kasih banyak Pn. Mimi. (Tahun ni SKKW dapat 4 orang cikgu baru yang bernama Fiza - sebab tulah dapat makan pizza kot)
    Cikgu-cikgu bagi isyarat kepada saya supaya mengambil gambar untuk dimasukkan ke dalam blog. Hai cikgu-cikgu pulak yang naik syok dengan blog saya. Apapun terima kasih para peminat setiaku.


Jamu selera sebelum mesyuarat

Seronoknya

Terima kasih daun keladi emak Nurin
 
Last kopek

Setiausaha Sukan; cikgu Abu menyampaikan taklimat sukan dan merentas desa
 GB berharap agar semua guru dapat memberi kerjasama yang baik terhadap kedua-dua program ini

Semoga merentas desa dan sukan kali ini dapat berjalan dengan lancar dan penuh semangat kesukanan. Terima kasih kepada PIBG kerana telah sudi menampung keseluruhan perbelanjaan mengadakan kejohanan sukan ini. Majulah Sukan untuk Negara!

Thursday, January 21, 2010

Perjumpaan Ibu bapa Thn 6

Pagi tadi telah diadakan satu perjumpaan ibu bapa tahun 6 yang juga dikenali sebagai "Majlis Permuafakatan Kecemerlangan UPSR 2010". Program ini telah diadakan di dewan kelas Tahun 2. Ramailah juga ibu bapa yang hadir terutama para ibu. Terima kasih YDP PIBG, Dr. Mohd Rushdan yang telah sudi hadir merasmikan majlis ini. YDP telah mencadangkan agar bayaran kelas tambahan yang selama ini telah ditetapkan sebanyak RM20.00 sebulan dinaikkan kepada RM30.00 sebulan bagi menampung kos bahan fotostat, buku, jamuan murid serta pembayaran saguhati kepada guru. Alhamdulillah semua ibu bapa yang hadir bersetuju sebulat suara. So Februari ni akan mula kutip RM30.00. Dan tak perlulah lagi hujung tahun mohon dari PIBG bayaran insentif tersebut.
   Majlis dimulai dengan bacaan doa, ucapan aluan Guru Besar, ucapan perasmian YDP PIBG, taklimat wakil guru mata pelajaran BM, BI, Matematik, Sains dan Agama. Akhir sekali sesi dialog. En. Munir; AJK PIBG yang turut hadir telah mencadangkan agar bahan power point yang dipaparkan tadi diperbanyakkan untuk diedar kepada semua ibu bapa Tahun 6 dengan kosnya ditanggung oleh PIBG. Tq again.
 
Terima kasih Awi atas bahan yang diberi. Dapatlah kami edit untuk ditayangkan

Sebahagian ibu bapa dan guru yang hadir

Cik Syarfiza; guru Kaunseling mengacara majlis

Ucapan aluan GB

 YDP PIBG menyampaikan ucapan perasmian dengan begitu bersemangat sesuai dengan jawatannya sebagai pensyarah USIM

GPK 1; Pn. Sa'diah membentangkan pencapaian dan target UPSR, data-data TOV serta program
 
 Pn. Siti Zubaidah memberi taklimat BM

GPK HEM; Pn. Noor'ashikin memberi taklimat BI

Guru Matematik; Pn. Siti Aminah

Cikgu Sains; En. Mohd. Fakhruddin

Guru Agama; Pn. Asiah

En. Munir dengan 10 idea yang sangat bernasnya

Seorang lagi bapa semasa sesi dialog
(Sorry gambar-gambarnya gelap. Bukan boleh zoom kamera ni)

Tuesday, January 19, 2010

Kisah pokok kelapa


Dalam kawasan SKKW terdapat banyak pokok kelapa yang juga dikenali sebagai pokok 'palm' yang telah ditanam oleh pihak pemaju. Memang cantiklah juga lanskap sekolah dengan adanya pokok-pokok kelapa ni. Tapi akhir-akhir ini pokok-pokok kelapa tu dah tinggal sikit. Kebanyakannya telah ditebang sebab dah mati. Ada juga yang ditebang setelah dibakar oleh pihak bomba selepas sekolah mengadu tebuan bersarang dalam masa 2, 3 hari aje.
  Tapi ada sebatang pokok kelapa ni yang sangat unik. Pokok kelapa ini seolah-olah menyambut tetamu sebab ia berada di hadapan pintu depan sekolah. Ia terletak dekat dengan parking kereta GB.
 
Pokok ini sangat istimewa sebab ia tak tumbuh ke atas. Ia membengkok ke bawah menyembam ke sebongkah batu yang saya kira diletakkan oleh pemaju. Kat Kota Warisan ni memang banyak bongkah-bongkah batu yang mengindahkan pemandangan di taman ni.

Apa yang uniknya pokok kelapa ini ialah ia tunduk ikut arah kiblat. Seolah-olah pokok kelapa ini sedang ruku'. Allahu Akbar...
 
Sekitar tahun 2005 dulu, masa tu sekolah ini baru 2 tahun dibuka, penduduk kat sini termasuk ustaz dan pak imam ada mengadu kepada saya yang mereka selalu ternampak ada beberapa orang sedang "melakukan sesuatu" kat pokok ini seolah-olah memuja nombor. Perbuatan itu dilakukan dalam pukul 2.00 - 3.00 pagi. Mereka mengesyaki pengawal keselamatan sekolah saya yang melakukannya. Saya telah bertanya kepada pengawal-pengawal tersebut tetapi mereka menafikannya. Jaga-jaga tu pun dah lama berhenti kerja.

 Semasa cuti panjang sekolah hujung tahun 2005 tu, staf sekolah saya yang ketika itu cuma 2 orang saja (1 kerani dan 1 PAR) selalu mengadu merasa "lain macam". Macam-macam bunyi mereka dengar. Tambahan pula, Ketua Guru KAFA yang sering datang ke sekolah masa cuti tu pun mengatakan yang beliau pun terdengar bunyi-bunyi itu. Malah, ada sekali dua tu, cikgu-cikgu saya pun menceritakan beberapa peristiwa pelik di sekolah. Barangkali ada perkaitan antara aktiviti memuja pokok kelapa dan senario mistik ini. Entahlah, pening juga saya dibuatnya ketika itu.
   Bukannya saya nak cakap besar tapi saya memang tak pernah dengarlah bunyi-bunyi pelik tu. Saya selalu juga balik lambat dan tinggal seorang di pejabat sampai lewat petang. Kerap kali juga saya datang ke sekolah pada sebelah malam untuk membuat kerja. Tahun 2004 dulu masa saya buat program sandaran NPQH selama 6 bulan, saya duduk di bilik APD Pusat Sumber tingkat 2 sorang-sorang sampai petang.
 
Tapi itu cerita tahun 2005. Sekarang ni dah tak ada kedengaran lagi dah. Staf, guru dan murid pun dah ramai. Semua bilik di tingkat 3 tu dah dijadikan kelas. Pagi sekolah kebangsaan, petang sekolah agama. Sejak beberapa tahun ni setiap Jumaat sebelum masuk ke kelas, semua guru dan murid akan membaca surah Yaasiin di tempat perhimpunan. Moga cerita-cerita lama itu tidak akan berulang lagi. 
   Dan tak taulah berapa lama lagi hayat pokok kelapa unik ini.

Monday, January 18, 2010

Pelantikan Pegawai Perhubungan Polis

Tadi pagi semasa perhimpunan mingguan, telah dijalankan majlis pelantikan Pegawai Perhubungan Sekolah dari Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi. Pihak IPD Sepang telah menyediakan sijil dan pihak sekolah telah menyampaikan sijil tersebut di hadapan semua murid dan guru. Mereka adalah L/Kpl Ali Zambri bin Daud dan Konst. Mohd Ruzaidi bin Hassan. Kemudian L/Kpl Ali Zambri telah menyampaikan sedikit ucapan. Antara lain, Tuan Ali Zambri telah menasihatkan agar murid-murid menjaga disiplin di dalam dan luar sekolah serta elakkan mengunjungi cyber cafe.
   Sebenarnya program turun padang oleh pegawai-pegawai polis ni dah lama dah. Hubungan di antara pihak polis dan warga sekolah sangat rapat. Murid-murid pun dah tak pelik jika ternampak kelibat pegawai polis di kawasan sekolah. Alhamdulillan semoga hubungan ini akan bertambah erat dan keselamatan sekolah akan lebih terjamin.

L/Kpl Ali Zambri bin Daud menerima sijil
 
Konst. Mohd Ruzaidi bin Hassan

Sunday, January 17, 2010

Mesyuarat AJK PIBG ke-8

Petang semalam telah diadakan Mesyuarat AJK PIBG kali ke-8. Pada awalnya dah set nak buat pagi. Tapi oleh kerana YDP; Dr. Mohd. Rushdan ada hal, dipinda ke sebelah petang. Puas jugalah saya memujuk cikgu AJK yang ada hal suruh datang juga. Terima kasih cikgu kerana sudi mengorbankan masa demi pembangunan pendidikan sekolah kita. Kepada GPK-GPK yang tak jemu-jemu menemani saya dalam mesyuarat PIBG (walaupun sebelah pagi tu ada kelas tambahan Tahun 6), terima kasih yang tidak terhingga. Siapalah saya tanpa cikgu-cikgu semua.

Kenangan manis bersama YDP PIBG semasa pengumuman keputusan UPSR 2009 yang begitu bersejarah
Dalam mesyuarat tersebut, beberapa persetujuan telah dicapai. Antara lain;
1. Mengadakan program motivasi Tahun 6 (cadangan tarikh : 5 - 6 Mac 2010 @ 12 - 14 Mac 2010)
2. Majlis Makan Malam + Golf Tournament di Nilai Springs (cadangan tarikh : 3 April 2010)
3. Hari Keluarga anjuran bersama Surau Al-Hijrah (cadangan tarikh : 24 April 2010)
4. Inspiration Talk oleh ibu bapa terpilih kepada murid-murid kelas tambahan Tahun 6 (cadangan : sebulan sekali pada hari Sabtu minggu pertama jam 10.00 - 10.30 pagi)
5. Membeli p.a system  (termasuk speaker dan mikrofon) baru untuk Dewan Tebuka sekolah
6. Memberi bayaran insentif yang akan ditetapkan kepada guru-guru kelas tambahan Tahun 6
7. Sesi Ramah Mesra + makan tengah hari AJK PIBG bersama guru SKKW di tingkat atas kedai Randau (taukenya En. Munir salah seorang daripada AJK PIBG) (cadangan tarikh : 28 Januari 2010)
Banyak tu program yang dirancang, semuanya sangat baik dan proaktif. Bagi pihak sekolah, saya mengalu-alukan semua cadangan tersebut. Kami guru-guru akan cuba memberi kerjasama yang sebaik mungkin dalam melaksanakan program yang telah dirancang itu. Berkat permuafakatan dan persefahaman ibu bapa dan guru-guru ini, saya yakin SKKW akan bertambah maju. Impaknya anak-anak murid juga yang akan menuai hasilnya. 

Friday, January 15, 2010

Maal Hijrah SKKW

Pagi tadi (29 Muharram 1431H), telah diadakan Sambutan Maal Hijrah perigkat sekolah. Penceramah jemputan ialah Ustaz Ab. Ghani bin Hashim; Pegawai Khas KGSK PPD Sepang. Oleh kerana tahun ini murid sudah bertambah, pihak sekolah telah mengambil keputusan untuk mengecualikan murid-murid prasekolah, Tahun 1 dan 2 daripada mendengar ceramah. Sebaliknya mereka menjalani pertandingan mewarna di kelas masing-masing. Hasilnya, disiplin murid-murid semasa ceramah sangat terkawal. Tahniah semua!
 
Din sebagaimana biasa mengacarakan majlis

Menemani ustaz
 
Ustaz Zul membacakan doa

Murid-murid mengaminkan doa
 
Adik Fikri membacakan ayat-ayat Al Quran di permulaan program
 
Menurut penceramah, SKKW adalah antara sekolah pertama di daerah ini yang mengadakan sambutan Maal Hijrah
 
Bersemangat sungguh ustaz Ghani
 
 
Murid-murid perempuan duduk di belakang

Isi masa yang terluang dengan menanda buku
 
Murid-murid Tahun 1 mewarna di dalam bilik darjah
Guru-guru panitia Agama Islam serta pentadbir bergambar kenangan bersama penceramah

Tuesday, January 12, 2010

Tasmik

Jumaat lepas seorang bapa murid India yang belajar dalam Tahun 1 call saya agak marah-marah kenapa anak dia bawa balik surat jadual kelas Tasmik Al-Quran. Saya pun mintalah maaf, kata tersilap edar. Sepatutnya surat tu untuk murid-murid beragama Islam saja. Puas jugalah saya menerangkan kepada beliau senario kelas j-QAF ini termasuk kelas bahasa Arab yang perlu dipelajari oleh semua murid tak mengira kaum sebab subjek itu mengajar bahasa, bukan agama. Parent ni tetap minta tak mau anaknya belajar bahasa Arab. Saya kata, terpulanglah. Dia minta sekolah adakan kelas bahasa Tamil, saya pun berjanjilah akan tengok macamana. Setau saya kelas POL bahasa Tamil hanya boleh dibuka jika ada permintaan oleh lebih 15 orang murid. Murid Tahun 1 setakat ini hanya 7 orang saja murid bukan Melayu. Murid tahun lain setakat 2, 3 orang aje.
    Dalam pada parent ni beriya-iya sensitif sangat dengan surat tasmik dan bahasa Arab tu, sebenarnya ada seorang parent murid India saya yang bernama Gnyarien (Tahun 4) telah memohon agar anaknya tidak mengikuti kelas Moral pada tahun lepas. Sebaliknya dia minta izin anaknya belajar dan menduduki peperiksaan Agama Islam. Bimbang disalahtafsirkan, saya telah menyuruh parent ni buat surat. Bila exam, Gnyarien selain menduduki kertas Agama juga diminta periksa Moral. Semuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
    Tahun ni adik Gnyarien; Janisha (Tahun 1 - sekelas dengan murid yang tak nak belajar bahasa Arab tadi tu) juga tidak belajar Moral sebaliknya belajar Agama. 

Gnyarien Tahun 4 Setia - sekarang dah jadi pengawas
 
Si adik; Janisha dalam kelas Tahun 1 Wibawa

Janisha beratur depan sekali

Janisha bersama-sama rakan sekelasnya sedang belajar Fardu Ain dalam bilik j-QAF

Sunday, January 10, 2010

AJL

Tadi pi kenduri pertunangan anak kak Mas dan perkahwinan anak kak Noryati bekas guru SKKW yang dah bertukar ke SK BBST. So tak masaklah tengah hari. Malam ni ingat nak goreng nasi aje sambil tunggu Anugerah Juara Lagu. Lama tak mengadap tv lama-lama gitu, baik drama ke rancangan hiburan ke. Asyik belayar di alam maya aje.... Agak-agak siapa menang ya? Tapi saya suka Aizat, bukan sebab nama dia sama macam Along tapi lagu dia, suara dia sedap. Suka lagu Hanya Kau Yang Mampu. Harap Aizat menang malam ni.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...