Saturday, January 15, 2011

PIBG

Semua orang sedia maklum tentang kewujudan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah-sekolah. Di sini, saya ingin menyorot semula apa itu PIBG, tujuan dan fungsi PIBG sebagaimana yang digariskan di dalam perlembagaan.
    PIBG adalah salah satu organ penting sekolah yang boleh memainkan peranan besar dalam meningkatkan pencapaian persekolahan murid-murid. Pertubuhan PIBG di peringkat sekolah rendah dan menengah adalah hasil pelaksanaan syor-syor berlandaskan Laporan Aziz yang diumumkan pada tahun 1971.
    Fungsi PIBG utama yang ditubuhkan di sekolah-sekolah ialah menjaga dan melindungi kebajikan pelajar-pelajar dan guru-guru, di samping memberi sumbangan untuk perkembangan sekolah. Fungsi PIBG ini dapat diperlihatkan daripada kegiatan-kegiatan sosial, akademik dan kebajikan yang diusahakan mengikut garis panduan Kementerian Pelajaran Malaysia.
    Ahli-ahli PIBG yang aktif boleh menyumbangkan tenaga dan sumber kewangan mereka dari semasa ke semasa demi kemajuan sekolah.
    Menurut  Akta Pendidikan 1996 Peraturan-Peraturan Pendidikan (Persatuan Ibu Bapa = Guru) 1998 [Sub peraturan 7(2) ] Perlembagaan Persatuan Ibu Bapa - Guru (PIBG), tujuan PIBG ialah:- 
(a) Untuk mengadakan sesuatu forum dan perkhidmatan bagi kebajikan dan kemajuan murid-murid dalam meningkatkan imej sekolah; 
(b) Untuk membantu dan menambah usaha sekolah dalam memenuhi kehendak dan keperluan kebendaan murid-murid dalam kegiatan mereka;
(c) Untuk membolehkan ibu bapa dan guru dalam sekolah bertukar-tukar fikiran dan maklumat mengenai pendidikan;
(d) Untuk memberi peluang kepada ibubapa dan guru dalam sekolah berunding antara satu sama lain berkenaan dengan cara memperbaiki taraf pendidikan anak-anak mereka pada amnya; dan
(e) Untuk membolehkan ibu bapa dan guru dalam sekolah berusaha menambah kewangan sekolah dan meningkatkan kemudahan fizikal bagi tujuan meningkatkan kemudahan pengajaran dan pembelajaran.
    Manakala fungsi PIBG pula ialah untuk menjalankan aktiviti atau program bagi mencapai tujuan-tujuan yang dinyatakan di atas, seperti :-
(a) membantu dalam memajukan perkembangan murid dan menjaga kebajikan murid;
(b) menambah sumber kewangan sekolah bagi menambah dan meningkatkan kemudahan di sekolah;
(c) meningkatkan kemesraan dan menyediakan saluran komunikasi dan hubungan antara sekolah dengan masyarakat setempat;
(d) meningkatkan keceriaan premis sekolah supaya dapat mewujudkan suasana yang kondusif bagi menjayakan aktiviti dan program pendidikan.

    Jelas sekali, peranan PIBG hanyalah sebagai organ menambahbaik dan membantu pihak sekolah dalam bidang tertentu sahaja. PIBG tidak boleh mentadbir dan mencampuri hal pentadbiran sekolah sementara pihak sekolah pula haruslah memberi sepenuh kerjasama kepada PIBG kerana kebanyakan program PIBG memerlukan penglibatan guru-guru. Beruntunglah sekolah yang mendapat barisan AJK PIBG yang komited dan memahami. Sudah tentulah pentadbir dapat menjalankan tugas dengan lancar dan guru-guru dapat mendidik dengan berkesan.
    Mesyuarat PIBG janganlah dijadikan sebagai medan untuk menyenaraikan ketidakpuashatian kerana tujuan utama mesyuarat adalah untuk membincangkan usaha memartabatkan pendidikan. Masa tersebut begitu berharga untuk dihabiskan dengan membesarkan hal-hal yang remeh-temeh. Masing-masing boleh menegur tetapi lunakkan ia dalam bentuk cadangan. Jika ada kes-kes tertentu, datanglah ke pejabat sekolah untuk disiasat dan diselesaikan secara halus dan berhemah. 
    Sebagai guru dan kini Guru Besar, memang banyak pahit maung yang telah saya lalui sepanjang berurusan dengan PIBG, tak kiralah dengan ahli-ahlinya maupun AJKnya. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi kredit kepada beberapa orang ahli dan AJK PIBG yang amat saya hargai. Pada pendapat saya, mereka ini sangat baik hati, pemurah dan sentiasa menyokong pihak sekolah. Antaranya;
1.  Pn. Bahiyatul Nazarah
2.  En. Munir Ashim Abdullah
3.  Pn. Rohani Tamby
    Ini tidaklah bermakna ahli-ahli yang lain tak komited. Cuma sebagai insan biasa, hati kecil saya memang cukup tersentuh dengan keluhuran hati mereka. Siapalah saya hendak menilai para ibu bapa yang hebat di luar sana? 
    Namun setinggi-tinggi syabas kepada PIBG SKKW yang sentiasa menyokong kami selama ini. Semoga hubungan baik ini akan terus berpanjangan demi mencapai puncak kegemilangan!

7 comments:

  1. bagaimane pulak ngan PIBG kebangsaan? adeke ia termaktub dlm akta pendidikan 1996? adeke kementerian pelajaran malaysia mengiktiraf PIBG kebangsaan tuh?

    ReplyDelete
  2. Salam Kak Aida..

    Tahniah kepada ajk2 dan ahli PIBG yang
    sanggup meluangkan masa untuk berbakti kepada sekolah..

    ReplyDelete
  3. Salam amalhaj. Setakat yang aya tau PIBG Nasional tu tak ada dalam akta. KPM tak iktiraf pun.

    Salam cik Shinju. Memang besar jasa AJK PIBG. Semoga mereka benar2 dapat memainkan peranan membantu pihak sekolah.

    ReplyDelete
  4. Assalamu'alaikum CIKGU AIDA

    Semoga sihat & sejahtera selalu.

    Maaf ingin bertanya, pernahkah dalam tahun-tahun tertentu, kesemua PIBG diminta Kementerian utk memberi cadangan-cadangan dalam pembangunan sekolah dan pendidikan di sekolah? Kalaulah ada dikumpulkan, dianalisis & dikategorikan semua cadangan dari semua PIBG di seluruh negara, mungkin hasilnya boleh mambantu Kementerian. Maaf jika soalan saya bagaikan merepek.

    Cuma persoalan besarnya, adakah 'suara' PIBG yg diwujudkan di setiap sekolah itu benar-benar diberi telinga, dan sejauh mana, dalam perancangan & pembangunan sekolah.

    Kepentingan & ego peribadi, kumpulan serta politik memang menghantui efisiensi & keberkesanan PIBG. Semoga tiada AJK PIGB sekolah cikgu yang punyai kepentingan sedemikan. Selamat maju jaya.

    ReplyDelete
  5. Salam cikgu temuk. Tkasih sudi singgah. Sepanjang pengetahuan saya, tak ada pula kementerian minta cadangan2 dari PIBG sebagaimana yang cikgu tanya tu. Mereka hanya tunjuk minat kalau sekolah tu bermasalah dgn PIBG - habis semua pegawai dr semua peringkat turun siasat. Andaikata sek di pihak yg betul, habis2 mereka suruh sabar hingga AGM yg akan membetulkan keadaan.

    Insya Allah mutakhir ni tiada AJK PIBG saya yg mempunyai kepentingan peribadi / kumpulan / politik. Perbezaan pendapat tu biasalah tapi kami pun punya hujah dan asas2 juga.

    ReplyDelete
  6. IM dulu rajin pi mesyuarat PIBG jer...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...